Ahad, 10 April 2016

KRISIS Identiti rakyat Malaysia

SEORANG kanak-kanak tiba-tiba bertanya kepada ibunya, “kenapa orang itu pakai pakaian sebegitu?” sambil matanya mengarah kepada seorang wanita yang anggun mengenakan sepasang pakaian cheongsam kaum Cina di hadapannya.
Jawab si ibu, “shhhh...,” sambil mengeleng-ngelengkan kepala dan mengerling anaknya supaya tidak terus bertanya.
Si anak yang mungkin berusia lingkungan tujuh atau lapan tahun itu terus senyap, namun matanya terus galak melihat wanita berkenaan tanpa dijelaskan mengenainya.
Sama ada si ibu tidak mempunyai pengetahuan mengenai hal pakaian itu, tidak tahu bagaimana untuk memberi penjelasan atau memang sengaja tidak mahu membincangkannya kerana tidak penting untuk anak kecil.
Apa-apa pun alasannya, tanggapan seumpama itu bagi penulis agak kurang sihat untuk anak kecil yang bersifat ingin tahu, pada hal ia boleh dijelaskan supaya mereka faham.
Bukan sekadar faham mengenai apa pakaian cheongsam itu tetapi lebih penting ialah apa makna pembawaannya, dalam erti kata lain budaya yang diwakilinya.
Pakaian cheongsam itu adalah salah satu contoh item atau hal yang penulis hidangkan bagi melambangkan elemen, aturan mahupun nilai-nilai kehidupan yang menjadi salah satu budaya masyarakat di negara ini.
Itu baru bercerita perkara kecil mengenai perihal pakaian, bagaimana pula jika menyentuh isu lebih besar.
Jika anak kecil itu tidak diperjelaskan mahupun dididik mengenai budaya masyakat lain, penulis menjangkakan generasi baharu akan datang mungkin berdepan krisis identiti dan kecelaruan.
Mungkin akibatnya tidak sekarang, namun akan terhakis satu per satu nilai-nilai budaya umpama itu yang akhirnya membawa kepada sikap prejudis dalam masyarakat sekali gus menimbulkan haru-biru terhadap negara.
Ahli akdemik dan pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menyifatkan hal itu tidak mustahil berlaku ekoran kurangnya penjelasan mengenai budaya yang ada dalam negara kepada generasi muda sekarang.
Katanya, tidak dinafikan pengetahuan tentang budaya dalam kalangan generasi muda kini agak terhakis dan punca utamanya ialah sistem pendidikan.
“Di negara ini, sistem pendidikan tidak memberi penekanan kepada hal-hal berkaitan budaya sebaliknya keutamaan diberi kepada mata pelajaran Sains dan Matematik.
“Jadi, para ibu bapa hanya mementingkan bagaimana anak-anak memperoleh keputusan ‘A’ dalam mata pelajaran berbanding menerapkan mereka dengan norma-norma budaya hidup masyarakat majmuk di negara ini,” katanya ketika dihubungi penulis semalam.

Penulis berpendapat, seharusnya generasi muda bukan hanya bertanggungjawab untuk memelihara budaya kaum sendiri, namun mereka juga perlu mempelajari serta memahami kebudayaan masyarakat lain.