Ahad, 10 April 2016

KRISIS Identiti rakyat Malaysia

SEORANG kanak-kanak tiba-tiba bertanya kepada ibunya, “kenapa orang itu pakai pakaian sebegitu?” sambil matanya mengarah kepada seorang wanita yang anggun mengenakan sepasang pakaian cheongsam kaum Cina di hadapannya.
Jawab si ibu, “shhhh...,” sambil mengeleng-ngelengkan kepala dan mengerling anaknya supaya tidak terus bertanya.
Si anak yang mungkin berusia lingkungan tujuh atau lapan tahun itu terus senyap, namun matanya terus galak melihat wanita berkenaan tanpa dijelaskan mengenainya.
Sama ada si ibu tidak mempunyai pengetahuan mengenai hal pakaian itu, tidak tahu bagaimana untuk memberi penjelasan atau memang sengaja tidak mahu membincangkannya kerana tidak penting untuk anak kecil.
Apa-apa pun alasannya, tanggapan seumpama itu bagi penulis agak kurang sihat untuk anak kecil yang bersifat ingin tahu, pada hal ia boleh dijelaskan supaya mereka faham.
Bukan sekadar faham mengenai apa pakaian cheongsam itu tetapi lebih penting ialah apa makna pembawaannya, dalam erti kata lain budaya yang diwakilinya.
Pakaian cheongsam itu adalah salah satu contoh item atau hal yang penulis hidangkan bagi melambangkan elemen, aturan mahupun nilai-nilai kehidupan yang menjadi salah satu budaya masyarakat di negara ini.
Itu baru bercerita perkara kecil mengenai perihal pakaian, bagaimana pula jika menyentuh isu lebih besar.
Jika anak kecil itu tidak diperjelaskan mahupun dididik mengenai budaya masyakat lain, penulis menjangkakan generasi baharu akan datang mungkin berdepan krisis identiti dan kecelaruan.
Mungkin akibatnya tidak sekarang, namun akan terhakis satu per satu nilai-nilai budaya umpama itu yang akhirnya membawa kepada sikap prejudis dalam masyarakat sekali gus menimbulkan haru-biru terhadap negara.
Ahli akdemik dan pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menyifatkan hal itu tidak mustahil berlaku ekoran kurangnya penjelasan mengenai budaya yang ada dalam negara kepada generasi muda sekarang.
Katanya, tidak dinafikan pengetahuan tentang budaya dalam kalangan generasi muda kini agak terhakis dan punca utamanya ialah sistem pendidikan.
“Di negara ini, sistem pendidikan tidak memberi penekanan kepada hal-hal berkaitan budaya sebaliknya keutamaan diberi kepada mata pelajaran Sains dan Matematik.
“Jadi, para ibu bapa hanya mementingkan bagaimana anak-anak memperoleh keputusan ‘A’ dalam mata pelajaran berbanding menerapkan mereka dengan norma-norma budaya hidup masyarakat majmuk di negara ini,” katanya ketika dihubungi penulis semalam.

Penulis berpendapat, seharusnya generasi muda bukan hanya bertanggungjawab untuk memelihara budaya kaum sendiri, namun mereka juga perlu mempelajari serta memahami kebudayaan masyarakat lain.

Isnin, 22 Julai 2013

Media Sosial vs Respect

Apa yang boleh saya sifatkan tentang perkara ini ialah malapetaka moden kepada manusia. Bukan saya seorang yang menolak pembaharuan atau kecanggihan sistem komunikasi terkini, namun ia telah digunakan sewenang-wenangnya. Budaya kecam, menyelar, mengutuk dan segala biadapnya dipamerkan dalam media sosial tanpa ada rasa malu atau hormat dengan suasana sekeliling. Lebih memburukkan, budaya media sosial yang menjurus kepada isu sensitif antara kaum semakin menjadi-jadi. Bagaimana perkara ini boleh dibendung? Kita perlu banyak lagi belajar apa ertinya rasa hormat dan dihormati...

ahqim - Eropah ada kempen `Respect'...di Malaysia bagaimana?

Khamis, 18 Ogos 2011

Bijakkah mereka?






APABILA rakyat semakin berpendidikan tinggi dan berpengetahuan luas, ia adalah satu kebaikan kepada Malaysia dalam usaha negara ini ingin menjadi maju. Bagaimanapun, timbul masalah lain apabila kebijaksanaan rakyat di negara ini tidak diterjemahkan untuk negara sebaliknya digunakan untuk kerakusan nafsu dan kuasa masing-masing. Boleh disaksikan pada masa ini suasana di negara ini tidak begitu menggembirakan, bukan hanya dibebankan dengan kadar inflasi serta ekonomi yang sederhana bahkan paling buruk lagi disebabkan dengan politik. Hampir semua perkara dari sehalus-halus rambut hingga sebesar-besar bangkai gajah, ada sahaja campur tangan politiknya. Dengan gah yang mengaku dirinya bijak terus melaung-laung ini tak betul dan ini tidak adil, ada yang setengah bijak pula mengangguk-angguk menyokong apatah lagi yang kurang bijak, terus ikut gaya macam bijak meskipun lompang sana-sini pekung mereka, itu tidak mengapa kerana yang penting mereka nampak bijak. Disebabkan orang yang sebegini bijaknya menyebabkan keadaan semakin huru-hara apabila tindakan dan sikap mereka tidak melambangkan kebijaksanaan apabila diterjemahkannya kepada keriuhan di jalanan. Cukup malang lagi kebijaksanaan mereka ini telah menyebabkan golongan yang berpandangan sederhana turut terjebak dan menjadi mangsa keadaan. Jika benar-benar bijak, kenapa tingkah laku dan tindakan mereka ini umpama aturan rimba, tidak bijak tapi mampu membaham mangsa....





ahqim : Rambut sama hitam....










Rabu, 10 November 2010

Jika Sarawak sebuah negara bebas...

Penulis sewaktu menunggu sebuah kes di mahkamah Kuching dengan dua rakan, seorang lelaki dan seorang wanita, tiba-tiba terdetik di dalam hati masing-masing untuk terfikir bahawa apa akan jadi kepada Sarawak jika ia bukan sebuah negeri di Malaysia dan apa pula natijahnya sekiranya Sarawak sebuah negara bebas atau sebuah negeri yang masih dibawah jajahan British yakni Britain pada masa ini.

Pada mulanya cerita berkisar kepada Liga bola sepak Inggeris dan apabila Sarawak menjadi salah satu negeri di England, maka kemungkinan besarnya negeri ini mempunyai pasukan handalan yang bersaing di peringkat profesional seperti kelab Liverpool, Manchester, Chealse atau Arsenal. Pada masa itu, sudah semestinya stadium akan sentiasa penuh malah peminat dari negara jiran seperti Malaysia sudah pasti berkunjung untuk menyaksikan pemain-pemain bintang seperti Torres, Rooney, Tevez atau sebagainya apabila bertandang ke Sarawak. Sarawak juga mungkin menggunakan matang wang pound sterling untuk segala urusan, penduduk tempatan mungkin menikmati kelangsungan urusan transaksi dan pada masa sama ekonomi negeri mungkin juga terjana, tapi apakah ia memberi kesudahan yang baik kepada rakyat atau terpaksa berdepan inflasi yang tinggi memandangkan nilai barangan di pasaran melambung-lambung berbanding permintaan yang kurang memandangkan jumlah penduduk yang tidak seberapa, tapi mungkin juga rakyat di negeri ini boleh menjadi seperti rakyat di Monaco yang boleh memperoleh sekali keuntungan berlaba-laba untuk menampung kehidupan dalam tempoh setahun. Jika itu dilihat dari segi perspektif sukan bola sepak yang mampu menjana berbilion pound sterling di England...pada masa sama cukai terhadap rakyat juga tinggi, maka yang mana lebih baik?

Bagaimana pula dari sudut sosial masyarakatnya...? Isu ini akan terus dibincangkan pada episod yang seterusnya nanti....

ahqim

Sabtu, 10 Julai 2010

Bila pelancong hadir RWMF 2010


Festival Muzik hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2010 yang berlangsung mulai malam tadi tetap meriah dengan kehadiran mencecah 5,000 pengunjung meskipun ketika ini demam bola sepak Piala Dunia masih belum lagi berakhir.

Edisi ke-13 RWMF yang dihadiri oleh peminat dari seluruh pelusok dunia kali ini menampilkan 20 pemuzik antarabangsa seperti Republik Cech, Indonesia, Columbia, Australia, Canada, Burkina Faso, potugal, Italy, Jepun, Reunion Island, United Kingdom, Perancis, Peru, Rusia, Iran, Bulgaria, China, India dan Malaysia.

Meskipun cuaca hujan sejak pukul 6 petang hingga pukul 10 malam sebelum kembali hujan pada pukul 11 malam di kawasan Santubong itu, ia tidak menghalang RWMF 2010 terus mengambil slotnya di Kampung Budaya Sarawak dekat sini malam tadi.

Malah, cuaca hujan itu telah menambahkan lagi keseronokan para penonton yang hadir apabila pada masa yang sama wujud sekumpulan pengunjung yang mengadakan `pesta mandi lumpur' di tengah-tengah ribuan manusia di hadapan pentas utama berlangsungnya RWMF.

Ini kerana, ruang padang di hadapan pentas RWMF yang sudah becak telah digunakan oleh segelintir penonton memalitkan lumpur terhadap rakan-rakannya hinggakan keseluruhan pakaian dan badan mereka dipenuhi tanah.

Tiada perasaan segan atau malu untuk berbuat demikian malah pesta mandi lumpur semakin memuncak ketika kumpulan Watussi iaitu gabungan pemuzik Columbia dan Australia melakukan persembahan yang memukau.

Terdahulu kumpulan-kumpulan muzik yang melakukan persembahan ialah Debu (Indonesia), Bakih (Malaysia), Layatharanga (India), Bisserov Sisters (Bulgaria), Reelroad'b (Russia) dan I Beedi (Itali).

Sementara itu, acara pada sebelah siang turut menggamit kehadiran pengunjung yang mahu menyaksikan pameran dan jualan Kraf Bazar Hutan Hujan Sedunia 2010 di samping bengkel muzik oleh kumpulan-kumpulan muzik RWMF di Kampung Budaya Sarawak.

RWMF 2010 akan berlangsung selama tiga hari dan para pengunjung diingatkan mematuhi peraturan supaya tidak membawa sebarang makanan dan minuman daripada luar Kamung Budaya Sarawak.


ahqim - terpaksa pejam mata untuk industri pelancongan


Jumaat, 9 Julai 2010

Lagi parti Politik di Sarawak?

Apa perlunya begitu banyak parti politik di Bumi Kenyalang? Adakah ia benar-benar untuk ingin mewakili sesuatu kaum atau sebenarnya mewakili mereka-mereka yang berasa mahu dipanggil sebagai YB. Hebat sangatkan bila anda dipanggil sebagai YB? Sarawak yang sudah pada landasan yang baik, tetapi kenapa tiba-tiba mahu dimomok dengan perkara seumpama itu. Orang sebegini jangan diberi muka, kerana perjuangan mereka sebetulnya adalah kemahuan peribadi dan bukannya kepada mereka yang melaung-laungkan sokongan dan berharapkan perkara yang sebenarnya. Perlu dilihat dengan jelas betulnya mereka atau benarnya mereka. Ini kerana ada YB yang betul hanya buat bising sahaja manakala YB yang benar akan menyuarakan keluh kesah rakyat diwakilinya.

ahqim - YB sampah layaknya dalam tong sampah.

Isnin, 14 Disember 2009

Hak atau Politik?

Aku menghadiri satu majlis Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) di Kelab Golf Sarawak, pada mulanya ia seperti kelihatan majlis biasa pada aku. Melihat pada atur caranya, sebagai wartawan sudah pasti akan mengeluh kerana deretan orang kenamaan (VIP) yang akan berucap, sudah pasti ia agak memakan masa dan pada aku ia akan menyebabkan berlaku kelewatan dalam mengejar dateline.

Aku skip acara pembukaan termasuk bacaan doa, lagu kebangsaan dan dua ucapan VIP terdahulu. Apa yang aku fokuskan adalah untuk mendengar ucaptama oleh presidennya. Aku memasuki dewan, namun masih ada VIP ketiga yang sedang berucap yang sekali sekalanya kedengaran seperti melaung untuk menaikkan semangat.

Kedengaran pada aku ucapan VIP ini memang berapi-api semangatnya, namun apa yang disentuhnya hanya merupakan perkara khusus untuk golongannya sahaja atau dalam kata lain menceritakan tentang untuk mendapatkan periuk nasi kumpulan orang seumpama nya. Adakah pertubuhan ini untuk orang seperti ini? Agak bising menceritakan mengenai tender kontrak, kenapa tidak beri projek kepada kontraktor F, kerajaan perlu lihat kontraktor bumiputera dan boleh disimpulkan ucapannya itu lebih kepada isi perut sendiri. Orang sebegini boleh lah disifatkan tidak mempunyai moral dan terlalu angkuh.

Tidak malukah untuk bercerita mengenai periuk nasi sendiri terlebih dahulu sedangkan yang ternganga mendengar di kalangan atau lapisan masyarakat yang benar-benar memerlukan Perkasa. Pada hal, yang menjadi agenda utama dalam penyampaian ucapannya lebih kepada apa yang dia akan peroleh, sungguh kecewa orang sebegini dibenarkan untuk menyertai pertubuhan yang setakat ini dilihat ingin berjuang atas nama pribumi tetapi sebaliknya untuk dijadikannya sebagai wadah bagi mendapatkan tender-tender projek kerajaan dengan meletakkan nafsu duniawi melebihi visi dan misi sebenar pertubuhan.

Tiba masanya VIP utama mengambil alih tempat untuk berbicara lantang. Aku mula sedia dengan pen dan buku, pada masa yang sama perakam kutekan untuk mengikuti apa yang ingin disampaikan oleh beliau.

Pada mulanya agak perlahan, mula berbicara tentang si polan ini YDP dari Terengganu dan seterusnya si polan-si polan. Kemudian isi ceritanya mula memasuki arena dan nada suara berubah sedikit demi sedikit yang akhirnya terus memaku teguh sambil tepukan memenuhi ruang dewan menyatakan sokongan.

Aku mula mendengar butiran percakapannya, pribumi sudah lama bertolak ansur dan terpaksa menelan kepahitan semata-mata tidak mahu memainkan sentimen perkauman. Cukup lah negara mengalami sejarah hitam dan pahit pada 13 Mei.

Lagi kedengaran, ketuanan Melayu adalah ungkapan sejarah yang mengingatkan bumiputera bahawa mereka adalah rakyat pribumi negara ini.

Ketuanan Melayu bukan sebuah undang-undang yang boleh mengundang kemudaratan kepada kaum lain dan tidak ada sebab mereka berasa sensitif dengan ungkapan tersebut.

"Kenapa ada pihak yang berasa sensitif dan marah apabila disebut ketuanan Melayu?

"Adakah selama ini kita bercakap mengenai ketuanan Melayu maka kita akan memusuhi kaum-kaum lain. Perkara seumpama itu tidak berlaku kerana selama 52 tahun Malaysia merdeka, kita tidak pernah ungkit mengenai mereka''.

Penubuhan Perkasa juga bukan bersifat rasis sebaliknya bertujuan menyuarakan serta mempertahankan hak-hak kaum bumiputera yang termaktub dalam fasal 153 Perlembagaan.

Mulanya agak ligat memikirkannya, aku mengakui apa yang dikatakan adalah benar, sejenak aku memikirkan dari sudut berbeza seolah-olah timbul dua perkara. Ada yang boleh menerima apa yang diucapkan itu adalah sebagai hak, bagaimanapun di sebelah pihak yang lain pula menterjemahkannya sebagai perkara sebalikya yang boleh dicanangkan sebagai isu meraih kehendak politik terhadap mereka yang tidak memahami isi kandungan yang dihujahkan.

Tidak hairan idea-idea politik perkauman digunakan, sebagai usaha memecah belahkan masyarakat sedangkan apa yang diutarakan oleh Perkasa adalah benar dan seharusnya diterima oleh seluruh rakyat dan bukannya menterjemahkannya dalam bentuk politik atau retorik. Ia sudah termaktub di dalam perlembagaan. Tetapi siapa yang tahu, kekuatan hak atau kerakusan politik? Anda sebagai bijak pandai menilainya sendiri.