Aku menghadiri satu majlis Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) di Kelab Golf Sarawak, pada mulanya ia seperti kelihatan majlis biasa pada aku. Melihat pada atur caranya, sebagai wartawan sudah pasti akan mengeluh kerana deretan orang kenamaan (VIP) yang akan berucap, sudah pasti ia agak memakan masa dan pada aku ia akan menyebabkan berlaku kelewatan dalam mengejar dateline.
Aku skip acara pembukaan termasuk bacaan doa, lagu kebangsaan dan dua ucapan VIP terdahulu. Apa yang aku fokuskan adalah untuk mendengar ucaptama oleh presidennya. Aku memasuki dewan, namun masih ada VIP ketiga yang sedang berucap yang sekali sekalanya kedengaran seperti melaung untuk menaikkan semangat.
Kedengaran pada aku ucapan VIP ini memang berapi-api semangatnya, namun apa yang disentuhnya hanya merupakan perkara khusus untuk golongannya sahaja atau dalam kata lain menceritakan tentang untuk mendapatkan periuk nasi kumpulan orang seumpama nya. Adakah pertubuhan ini untuk orang seperti ini? Agak bising menceritakan mengenai tender kontrak, kenapa tidak beri projek kepada kontraktor F, kerajaan perlu lihat kontraktor bumiputera dan boleh disimpulkan ucapannya itu lebih kepada isi perut sendiri. Orang sebegini boleh lah disifatkan tidak mempunyai moral dan terlalu angkuh.
Tidak malukah untuk bercerita mengenai periuk nasi sendiri terlebih dahulu sedangkan yang ternganga mendengar di kalangan atau lapisan masyarakat yang benar-benar memerlukan Perkasa. Pada hal, yang menjadi agenda utama dalam penyampaian ucapannya lebih kepada apa yang dia akan peroleh, sungguh kecewa orang sebegini dibenarkan untuk menyertai pertubuhan yang setakat ini dilihat ingin berjuang atas nama pribumi tetapi sebaliknya untuk dijadikannya sebagai wadah bagi mendapatkan tender-tender projek kerajaan dengan meletakkan nafsu duniawi melebihi visi dan misi sebenar pertubuhan.
Tiba masanya VIP utama mengambil alih tempat untuk berbicara lantang. Aku mula sedia dengan pen dan buku, pada masa yang sama perakam kutekan untuk mengikuti apa yang ingin disampaikan oleh beliau.
Pada mulanya agak perlahan, mula berbicara tentang si polan ini YDP dari Terengganu dan seterusnya si polan-si polan. Kemudian isi ceritanya mula memasuki arena dan nada suara berubah sedikit demi sedikit yang akhirnya terus memaku teguh sambil tepukan memenuhi ruang dewan menyatakan sokongan.
Aku mula mendengar butiran percakapannya, pribumi sudah lama bertolak ansur dan terpaksa menelan kepahitan semata-mata tidak mahu memainkan sentimen perkauman. Cukup lah negara mengalami sejarah hitam dan pahit pada 13 Mei.
Lagi kedengaran, ketuanan Melayu adalah ungkapan sejarah yang mengingatkan bumiputera bahawa mereka adalah rakyat pribumi negara ini.
Ketuanan Melayu bukan sebuah undang-undang yang boleh mengundang kemudaratan kepada kaum lain dan tidak ada sebab mereka berasa sensitif dengan ungkapan tersebut.
"Kenapa ada pihak yang berasa sensitif dan marah apabila disebut ketuanan Melayu?
"Adakah selama ini kita bercakap mengenai ketuanan Melayu maka kita akan memusuhi kaum-kaum lain. Perkara seumpama itu tidak berlaku kerana selama 52 tahun Malaysia merdeka, kita tidak pernah ungkit mengenai mereka''.
Penubuhan Perkasa juga bukan bersifat rasis sebaliknya bertujuan menyuarakan serta mempertahankan hak-hak kaum bumiputera yang termaktub dalam fasal 153 Perlembagaan.
Mulanya agak ligat memikirkannya, aku mengakui apa yang dikatakan adalah benar, sejenak aku memikirkan dari sudut berbeza seolah-olah timbul dua perkara. Ada yang boleh menerima apa yang diucapkan itu adalah sebagai hak, bagaimanapun di sebelah pihak yang lain pula menterjemahkannya sebagai perkara sebalikya yang boleh dicanangkan sebagai isu meraih kehendak politik terhadap mereka yang tidak memahami isi kandungan yang dihujahkan.
Tidak hairan idea-idea politik perkauman digunakan, sebagai usaha memecah belahkan masyarakat sedangkan apa yang diutarakan oleh Perkasa adalah benar dan seharusnya diterima oleh seluruh rakyat dan bukannya menterjemahkannya dalam bentuk politik atau retorik. Ia sudah termaktub di dalam perlembagaan. Tetapi siapa yang tahu, kekuatan hak atau kerakusan politik? Anda sebagai bijak pandai menilainya sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan