Rabu, 7 Januari 2009

Bos dan Kuli (2006)



Bos dan Kuli
Mata bos meliar di segenap ruang pejabat. Seperti ada sesuatu yang tidak disenanginya. Ada empat lima pekerja di dalam pejabat, yang lain mungkin ada tugasan di luar. Jam dinding pula menunjukkan pukul 10.30 pagi.Pekerja yang ada pula cuba menyembunyikan diri di sebalik komputer. Jangan nanti terlihat oleh dua mata orang tua separuh umur itu. Ada yang berpura-pura sibuk dengan menaip sesuatu di komputer pada hal tiada apa yang perlu ditaip.Bos masih duduk di kerusi empuknya. Sekali sekala matanya beralih di skrin komputer di mejanya. Satu ruang pejabat yang mewah, khas untuknya. Sekali lagi bos menjenguk ke arah pekerja, bulat matanya ke arah satu sudut. Ada yang tidak kena di situ.Tiba-tiba bos bangun dari tempat duduknya. Kemudiannya berdiri tegak dengan kedua-dua belah tangan dipautkan ke belakang. Kepalanya didongak sedikit dan perlahan-lahan melangkah seperti jalan seorang pegawai orang puteh memantau kulinya di ladang getah.Jalan bos sehingga ke sudut yang ditenungnya tadi. Melihat dua anak muda yang kononnya sibuk dengan kerjanya. Bos menarik muka tetapi tidak bertegur sapa dengan dua anak muda itu. Anak muda itu pula seolah-olah tidak menghiraukan kehadiran bosnya yang sedikit botak di kepalanya. Kadang kala, botak di kepala bos menjadi mainan mulut pekerja.Bos kembali ke mejanya lalu menerjunkan punggungnya ke atas kerusi yang empuk itu. Beralih sedikit kerusi itu apabila menerima terjahan berkenaan. Tiba-tiba, bos menjerit memanggil Majid.Majid, ke sini kamu. Majid tanpa berlengah menuju ke arah bos dengan pelbagai seribu satu persoalan. Apa yang tidak kena dengan bos aku pagi-pagi ini, fikirnya di dalam hati.Majid kini terpacak dan tercegat di hadapan bos. Kamu buat apa tadi?, kasar nada bos menanyakan Majid. Tak, saya sedang cari maklumat bos. Mana maklumat yang aku suruh kamu carikan. Sampai sekarang pun tak ada lagi. Saya sedang berusaha bos. Apa yang kamu cuba buat, kamu dibayar gaji untuk itu, kamu faham tak. Saya faham bos, angguk Majid lemah.Habis tu, tunggu apa lagi, dapatkan maklumat tu sebelum pukul 12 tengah hari ini.Baik bos, jamin Majid sambil berlalu ke mejanya tadi.Perlakuan dua watak itu tadi telah menarik Roslan untuk memerhati dari jauh.Setibanya Majid di tempat duduknya, Roslan tanpa berlengah mendekati Majid dan ingin mengetahui apa yang terjadi. Hei Majid, apa yang si boak mengamuk pagi-pagi ni dekat kamu. Haih, si botak itu nak aku carikan maklumat dan hantar pukul 12 tengah hari ini. Macam ni la kalau jadi kuli. Majid, Majid, apa nak buat, kena ikut lah. Ya lah, kalau tidak dah lama aku...kamu nak apa Majid? Kamu jangan Majid, nanti kena buang kerja jawabnya.Bos tiba-tiba memandang ke arah Roslan dan Majid. Dilihatnya seperti berbisik-bisik. Bos menjerit lagi. Hei Roslan, kemari kamu. Ah, sudah, mampus lah kali ni, si botak panggil aku pula. Macam mana ni Majid? Kamu pergi lah, jangan lama-lama, nanti apa pula makinya pada kamu.Roslan pun melangkah dengan penuh debaran ke arah bosnya itu. Sampai dekat meja, bos seolah-olah tidak menghiraukan kehadirannya kerana sedang menulis sesuatu pada diarinya.Ha Roslan, kamu buat apa sekarang. Tidak buat apa-apa bos. Kalau macam tu, tolong bancuh kopi pekat, gula dua sudu setengah. Baik bos. Fooo...leganya aku, celah Roslan dalam hatinya apabila bos cuma memintanya membuat air kopi. Roslan pun berlalu ke bilik rehat untuk membancuh air bosnya itu. Dalam langkahnya itu, Roslan sempat melihat ke arah Majid tapi dia sibuk mencari maklumat. Roslan paling ke belakang, bosnya duduk menyandar kerusi empuknya dengan hayunan perlahan.Roslan senyum, fikirnya beginilah menjadi kuli dan alangkah baiknya yang duduk di kerusi empuk itu sekarang adalah Roslan Mateja.
(ahqim-13 April 2006)

Tiada ulasan: