Jumaat, 5 Jun 2009

Kisah Rita si 'penjaja malam'

Oleh SOPI SAMAILE
utusansarawak@utusan.com.my


KUCHING 29 Mei - Ketika melalui sebuah lorong di kawasan Padungan, keadaannya nampak suram serta gelap seolah-olah tiada apa yang menarik untuk dijengah.
Namun seorang kawan yang bersama penulis ketika itu memberitahu di kawasan tersebut ada 'penjaja malam' yang boleh membuat darah seseorang lelaki memacu deras dan mampu mendidih sehingga 100°C.
Diteliti dengan jelas rupa-rupanya di dalam kegelapan itu sebenarnya ada urus niaga yang ditawarkan di sebalik kesuraman malam kepada mereka yang ingin kehangatan yang tidak kurang daripada 30 minit dan tidak melebihi satu jam.
Apabila dihampiri, baru jelas beberapa susuk badan dibalut baju singkat dan seluar sendat menjolok mata sehingga memperlihatkan secara jelas lekuk-lekuk tubuh mulus mereka yang bersidai di kaki lima lorong sepanjang kira-kira 100 meter itu.
Rata-ratanya wanita itu berusia 20 hingga 40 tahun.
Jalan yang tadinya suram kini berubah wajah dengan urus niaga tawar-menawar bermula, ada yang benar-benar menginginkan hajat dan tidak kurang yang nakal bertegur sapa mengusik 'penjaja malam' yang kemudiannya menarik muka masam selepas dipermainkan.
''Berapa?'', antara soalan awal kepada si penjaja malam yang kemudiannya menjawab ''RM70 sahaja'', sambil menggoda mana-mana lelaki yang cuba mendapatkan perkhidmatan singkat tersebut.
Harga RM70 itu adalah bayaran pakej kepada perkhidmatan si penjaja malam yang kemudiannya dibahagikan untuk bayaran sewa rumah tumpangan (RM20) dan penjaga atau bapa ayam (RM20) manakala bakinya RM30 adalah milik wanita terbabit.
Rita (bukan nama sebenar), 21, berdiri berseorangan di hujung jalan sempat ditemui Utusan Malaysia di sini malam tadi yang cuba mendapatkan kisah di sebalik wajah manis wanita muda tersebut yang mencari rezeki di tempat gelap seumpama itu.
Selepas terlanjur serta dipermainkan oleh kekasihnya, atas alasan malu dengan keluarga dan tekanan ekonomi untuk meneruskan kehidupan di bandar raya Kuching, Rita terjerumus dalam lembah pelacuran.
Usianya masih muda tetapi terpaksa mengambil jalan mudah untuk memperoleh rezeki sebegitu kerana dia sedar begitu sukar untuk mendapatkan pekerjaan lantaran tidak memiliki sebarang sijil akademik bagi dijadikan sandaran mengisi mana-mana jawatan kosong di bandar raya ini.
Di lorong itulah rezekinya dengan melayan beberapa lelaki untuk satu malam dan malam-malam seterusnya tanpa memilih sama ada pelanggannya itu tua atau muda, kacak atau hodoh dan pelbagai 1001 macam perangai.
''Setuju dengan harga RM70, pelanggan akan dibawa naik ke bilik penginapan saya di rumah tumpangan ini yang terdapat katil serta bilik air di dalamnya, maka di situ pelanggan boleh melakukan apa sahaja demi memuaskan nafsu mereka.
''Biasanya kami penjaja malam di kawasan tersebut seboleh-bolehnya mahukan pelanggan cepat 'selesai' sama ada dalam tempoh antara 30 minit hingga satu jam agar kami boleh mencari pelanggan seterusnya selagi ada tenaga untuk bekerja," katanya yang tidak menyedari penulis cuba mendapatkan maklumat mengenai aktiviti penjaja malam di kawasan tersebut.
Harga RM70 itu boleh dikatakan harga yang telah diseragamkan bagaimanapun ada juga yang meletakkan harga yang lebih mahal mungkin di atas faktor mereka masih baru di situ, maka nilainya lebih tinggi.
Perbualan penulis dengan Rita terhenti ekoran seorang lelaki dipercayai bapa ayam memerhati dengan penuh curiga ke arah Rita menyebabkan kami beredar namun jurugambar sempat merakamkan wajah-wajah serta suasana di kawasan jalan tersebut.
Namun sekembalinya kami ke kawasan tersebut selepas satu jam, Rita sudah tidak kelihatan di tempatnya tadi dan mungkin telah naik ke bilik penginapannya untuk melayan pelanggan.
Tidak lama kemudian, Utusan Malaysia yang membuat pemerhatian selama 30 minit di kawasan tersebut mendapati Rita menuruni anak tangga bersama seorang lelaki lingkungan usia 40-an yang nampak gayanya telah selesai melanggani wanita muda itu.
Rita kemudiannya berdiri semula di tempatnya tadi untuk menanti jika ada pelanggan baru yang datang bermakna bertambahlah pendapatannya pada malam itu.
Apa pun alasan yang diberikan oleh Rita dan penjaja malam di kawasan tersebut, pencarian rezeki seumpama itu tetap salah di sisi undang-undang, namun selagi ada pelanggan, penjaja malam tetap setia menghuni kaki lima di lorong sepanjang kira-kira 100 meter tersebut.

Tiada ulasan: