Jumaat, 5 Jun 2009
Bermukun meriah keramaian
Oleh SOPI SAMAILE
KUCHING 23 Sept. - Apabila gendang dipalu, rentak tari bermula, maka bertingkah pantun antara pemalu gendang terdiri daripada wanita dengan si penari lelaki yang menandakan majlis Gendang Melayu Sarawak atau 'bermukun' memasuki arenanya.
Dengan direntangi kain sebagai tabir untuk sempadan antara si penggendang dan si penari, para hadirin pula duduk-duduk secara santai di sekeliling, baik di lantai atau di atas kerusi dan ada yang berdiri di beranda rumah menunggu aksi-aksi pantun dimulakan.
Apabila penggendang sudah mendapat isyarat penari yang dikenali sebagai 'penandak' bahawa mereka sudah sedia menjawab pantun maka penggendang pun berpantun berbunyi;
Bukan mukun sebarang mukun,
Mukun kamek berisi beras;
Bukan pantun sebarang pantun,
Pantun kamek minta dibalas.
Mendengar pantun itu, sudah pasti penandak lelaki dicabar untuk berbalas pantun dan ia membuka peluang mana-mana lelaki yang bersuara merdu dan bijak berbalas pantun menonjolkan diri dengan menunjukkan kehebatannya.
Maka berbunyilah pantun si penandak seumpama ini;
Api apa di Tanjung Jambu,
Api Pak Jenal di hujung perahu,
Anak siapa berdua itu,
Saja kenal nama tak tahu.
Dalam majlis bermukun, terdapat pelbagai telatah boleh disaksikan malah ada yang mencuit hati dengan pantun-pantun bertemakan cinta dan kasih sayang, menggoda serta cuba menarik perhatian orang ramai, walaupun bukan semua penandak boleh menari dengan baik.
Malah di kalangan penandak terdapat satu atau dua mereka yang mempunyai peminat tersendiri dan sentiasa dinanti-nantikan kedatangannya ke majlis gendang atau bermukun itu disebabkan bijak dalam membalas pantun si penggendang.
Mendalami perihal bermukun, Utusan Malaysia berpeluang berbual-bual mengenainya dengan seorang aktivis seni, Hassim Tahot yang dikenali ramai sebagai Bang Acim kerana bergiat aktif dalam seni dan budaya di Bumi Kenyalang ini.
Hassim memberitahu, 'bermukun' merupakan persembahan tradisional Sarawak yang membabitkan persembahan tarian dan pantun berlagu yang diiringi gesekan biola dan gendang.
Menurutnya, dalam dialek Melayu Sarawak, bermukun adalah berbalas pantun antara penggendang dan petandak disusuli dengan bunyi gendang malah acara itu juga dikenali sebagai nopeng atau main kulit kambing kering.
''Ada yang menyebut acara itu sebagai bergendang, bermukun atau nopeng dan persembahan itu kebiasaannya diadakan pada majlis-majlis kenduri kahwin dan menyambut ketibaan orang kenamaan di kampung-kampung.
''Dahulu, acara itu dipanggil nopeng adalah disebabkan si penandak yang menari itu memakai topeng dan waktu berlangsungnya majlis tersebut kebanyakannya apabila hampir tengah malam," katanya di sini baru-baru ini.
Hassim memberitahu, dalam persembahan bermukun itu, ia mempunyai disiplin yang ketat dan dipelihara dalam mengawal sebarang gerakan.
Sebelum ini katanya, bermukun hanya membabitkan dua orang atau sepasang lelaki menari di hadapan tabir sambil berbalas pantun dengan si penggendang dan pasangannya.
Tambahnya, dahulunya penari di kalangan wanita tidak dibenarkan sama sekali, namun setelah memasuki zaman moden ini, kaum itu mula diberi peluang sebagai memperkembangkan lagi seni budaya Gendang Melayu Sarawak itu.
''Kebiasaannya yang 'bertandak' (menari) hanya lelaki yang selalunya berpasangan," katanya.
Dalam pada itu, pengalaman penulis sendiri sebelum ini yang pernah menghadiri majlis bermukun dalam tahun 1990-an mendapati para pemuda bertandak beramai-ramai secara serentak.
Dalam ruang yang sederhana, bertandak beramai-ramai akan menyebabkan keadaan nampak sesak, namun ada yang bersikap tolak- ansur bagi mengelak sebarang tindak balas meskipun ada yang berlaga bahu atau memotong barisan.
Ada juga si penandak yang tidak suka dipotong atau diambil-alih tempatnya sehingga sekurang-kurangnya sekali berbalas pantun dan sesiapa yang memotong giliran sebelum habis atau sebelum sempat berbalas pantun dikira melanggar adat dan pergaduhan boleh berlaku.
Ini kerana, majlis bermukun bukan hanya dihadiri oleh mereka yang datang dari satu kampung, namun ia disertai oleh para pemuda dari kampung-kampung yang berdekatan.
Apabila waktu rehat, ada orang yang akan menghidang kopi dalam gelas 'kampung' beserta dengan biskut 'keben' iaitu sejenis biskut tawar-masin sebelum acara itu diteruskan malah ada yang tamat sehingga subuh pukul 4 atau 5 pagi.
Bagaimanapun, budaya bermukun di kampung-kampung di Sarawak semakin lama semakin hilang ditelan zaman malah majlis-majlis keramaian atau kenduri pada hari ini mulai kurang serinya dan ada yang digantikan dengan acara konsert atau karaoke yang kurang mendapat sambutan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan